Saturday, 18 April 2015

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Inovasi dalam Pendidikan



Inovasi yang berbentuk metode dapat memberi kesan kepada penambahbaikan, meningkatkan kualiti pendidikan dan mampu menjadi alat atau cara baru dalam mengatasi masalah yang dihadapi dalam bidang pendidikan. Melalui inovasi, kaedah pembelajaran yang baru dalam melaksanakan proses Pembelajaran dan pengajaran (PdP) dapat membantu untuk meningkatkan keberkesanan dalam pembelajaran. Tambahan lagi, inovasi dalam aspek teknologi juga perlu diambil kira agar dapat membantu untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Penggunaan teknologi seperti i-think, Frog-VLE dan sebagainya mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan efektif. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi inovasi dalam pendidikan ialah

1) Guru
Guru merupakan individu yang menjadi tunjang dalam pelaksanaan pendidikan. Kewibawaan guru adalah sangat penting menentukan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran sama ada di dalam mahupun di luar kelas. Guru harus bijak dalam mendorong murid untuk mencapai objektif dalam pelajaran. Seorang guru yang berkaliber seharusnya mahir dalam menguasai material pembelajaran, menggunakan kaedah yang sesuai dengan objektif pelajaran dan memiliki kemahiran interpersonal yang baik.
Oleh hal yang demikian, guru perlu seharusnya melibatkan diri dalam merangka atau merancang inovasi dalam pendidikan. Pelaksanaan yang diikuti dengan penilaian inovasi yang dilakukan adalah sangat penting bagi memastikan inovasi tersebut berjaya dilaksanakan. Hal ini adalah sangat penting kerana tanpa melibatkan guru dalam proses merangka inovasi dalam pendidikan di sekolah, mereka akan menolak inovasi yang diperkenalkan kepada mereka. Hal ini demikian kerana apabila sesebuah inovasi dilakukan tanpa melibatkan para guru, mereka akan menganggap inovasi ini sebagai sesuatu yang menyusahkan dan mengganggu mereka dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik. Oleh itu, inovasi dalam pendidikan seharusnya mengutamakan penglibatan guru itu sendiri kerana mereka lebih faham prospek dalam bidang yang mereka ceburi.

2) Murid
Sebagai tumpuan utama dalam bidang pendidikan, murid mempunyai peranan yang sangat dominan. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, murid dapat menentukan keberhasilan sesuatu sesi PdP melalui kecerdasan murid, pengalaman, keinginan dan komitmen yang timbul dalam diri mereka tanpa paksaan. Hal ini berlaku apabila murid-murid juga dilibatkan terlibat dalam proses merangka inovasi dalam pendidikan walaupun dengan memperkenalkan kepada mereka objektif pelaksanaan inovasi daripada tahap perancangan sehinggalah pelaksanaan. Mereka juga harus dijelaskan tentang tanggungjawab bersama dalam pelaksanaan ini agar inovasi dalam pendidikan dapat berjalan dengan konsisten.
Peranan murid dalam inovasi pendidikan adalah sangat penting kerana mereka ialah individu yang menerima pelajaran dan penyampai ilmu pelajaran kepada rakan-rakannya yang lain. Oleh itu, pengenalan tentang inovasi dalam pendidikan adalah sangat penting kepada murid agar mereka dapat membantu untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

3) Kurikulum
Menurut Akta Pendidikan 1996, Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan. Hal ini menunjukkan bahawa kurikulum di sekolah adalah sangat penting dalam dalam pelaksanaan inovasi dalam pendidikan.
            Oleh itu, pembaharuan dalam pendidikan perlu sesuai dengan kurikulum sekolah dan kemudian barulah diikuti dengan pembaharuan dalam pendidikan. Jika hal ini berlaku, kedua-duanya akan selari dengan aspek-aspek lain dalam pendidikan.
4) Kemudahan
Kemudahan termasuk sarana dan prasarana pendidikan tidak seharusnya diabaikan khususnya ketika menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Kemudahan di sekolah sudah pastinya akan mempengaruhi kelangsungan inovasi yang ingin diterapkan. Tanpa wujudnya kemudahan yang kondusif, pelaksanaan inovasi dalam pendidikan mungkin akan pincang. Oleh itu, pihak sekolah seharusnya memastikan kemudahan asas berada dalam keadaan baik agar murid dapat menerima isi pelajaran dalam keadaan yang selesa. Tidak lupa juga kepada keperluan tambahan lain seperti alat pemancar (projector) dan tabir putih seharusnya berada dalam keadaan baik agar sesi pengajaran dan pembelajaran yang menarik dapat dijalankan. Hal ini demikian kerana, menurut Rogers (dalam Noriati Arashid & Boon Pong Ying, 2009), murid-murid lebih mudah menerima pembelajaran apabila ancaman luaran berada pada tahap minimum.

5) Lingkup Sosial Masyarakat.

Ketika usaha inovasi dalam pendidikan dilaksanakan, masyarakat terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam perubahan tersebut. Mereka mampu membawa sama ada impak positif mahupun negatif. Hal ini demikian kerana pendidikan itu sendiri adalah untuk mengubah masyarakat untuk menjadi lebih baik. Tanpa melibatkan masyarakat sekitar, inovasi dalam pendidikan tidak dapat dijalankan dengan baik malah, mereka mungkin tidak menyokong sekiranya inovasi yang dilakukan tidak dijelaskan dengan baik kepada masyarakat. Contohnya sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini mendapat tentangan daripada segenap masyarakat kerana kurang diberi pemahaman tentang kepentingan PBS itu sendiri. PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

            Menurut John Dewey, pendidikan ialah pembentukan manusia baru melalui perantaraan karakter dan fitrah dengan mencontohi peninggalan budaya lama masyarakat manusia. Hal ini menunjukkan kita mempelajari sesuatu berdasarkan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan. Maka, perubahan dalam kebiasaan adalah sukar diterima oleh masyarakat. Jadi, mereka seharusnya didedahkan tentang inovasi yang cuba dilakukan.

No comments:

Post a Comment